GURU PEMBINA MASYARAKAT BERAKHLAK MULIA
Oleh: Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady
Kertaskerja dipetik dari Kertas Panduan Kursus
Ketrampilan Pensyarah Pendidikan Islam Institut/Maktab Perguruan Malaysia
- 22-26 Julai 1996
Guru adalah ahli ilmu yang menyampai dan mengembang serta menjayakan
ilmu dalam masyarakat. Ia merangkumi ilmu pengetahuan mengenai Islam atau
pengetahuan umum dengan ciri serta tugas yang perlu mendapat pembelaan
sewajarnya dalam masyarakat. Mereka boleh menjalankan tugas dengan berkesan
untuk mewujudkan umat yang beriman, berilmu dan beramal.
Dalam Islam, dilihat dari segi sejarah dan ajarannya, ada beberapa istilah
yang digunakan mengenai guru. Antaranya ialah mu'allim, murabbi, mu'addib
dan mudarris.
Mu'allim ialah guru yang menjayakan proses penyampaian dan pembangunan
ilmu dalam diri manusia (ta'lim). Dalam al-Quran, proses ta'lim
ini dimulakan sendiri oleh Allah dalam ayat yang bermaksud: Dan Allah
ajarkan kepada Adam (hakikat) segala nama.(Q.2.31) Kemuliaan Nabi Adam
dengan mendapat taklim daripada Allah. Dengan memiliki ilmu menjadikannya
sebagai makhluk paling mulia. Allah memerintahkan malaikat sujud memuliakannya,
bukan sujud ibadat. Guru sebagai mu'allim, mengajar dan mengembangkan
ilmu serta menjayakannya dalam masyarakat - satu usaha suci dan mulia.
Dengan itu, kemuliaan kedudukan guru dalam sejarah dan masyarakat Islam
terjamin. Sikap memuliakan guru dan ilmu pengetahuan oleh umat Islam mendapat
sanjungan tinggi daripada Franz Rosenthal dalam bukunya Knowledge Triumphant.
Beliau berpendapat sukar untuk dicari peradaban seperti Islam yang memuliakan
ilmu pengetahuan dan guru. Kedudukan mulia diberikan kepada guru, walaupun
mereka bukan berstatus ulama.
Guru dipanggil juga sebagai murabbi, iaitu guru yang mendidik
(menjayakan tarbiah). Mereka menjayakan peningkatan murid dari segi akal,
rohani, jiwa dan fizikal. Mereka bertanggungjawab membentuk murid yang
memiliki peribadi yang baik. Apa yang berlaku ialah proses peningkatan
dalam diri murid. Guru yang mempunyai kemampuan sebagai murabbi
- apa lagi
murabbi dalam pengertian kerohanian - dipandang mulia
dalam Islam kerana mereka mempunyai keperibadian yang mampu membawa manusia
ke jalan kebaikan dan kebenaran sebagaimana yang dikehendaki Allah dan
RasulNya. Alangkah beruntung dan bahagianya masyarakat dengan adanya guru
yang bukan sahaja menyampaikan mata pelajaran kepada murid, tetapi turut
meningkatkan peribadi dan kemampuan mereka.
Guru yang berfungsi sebagai murabbi dan penuh iltizam diperlukan
oleh masyarakat dan umat Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi
Islam. Peradaban guru sedemikian sifatnya mampu menyelesaikan banyak masalah.
Dalam Islam, guru juga dipanggil mursyid, iaitu guru yang membimbing,
menentukan kehidupan serta nilai yang betul. Ini memang tepat dengan tujuan
dan matlamat pendidikan sebagai proses menyampaikan kepada generasi muda,
apa yang benar, baik dan unggul yang pernah diketahui, difahami, diyakini
dan diamalkan dalam peradaban manusia, khususnya Islam. Ini termasuk setiap
yang positif yang boleh dimanfaatkan daripada peradaban lain, termasuk
barat. Mana-mana yang negatif pula perlu dijauhkan.
Guru sebagai pendidik, adalah ahli ilmu yang membimbing manusia ke jalan
yang betul dalam pandangan hidup, hidup kerohanian, akhlak dan kepakaran
dalam bidang ilmu yang berfaedah. Dengan ini, dikatakan bahawa pendidikan
atau irsyad itu berjalan seiring dengan matlamatnya.
Dalam Islam guru juga dipanggil muaddib, iaitu guru yang menjayakan
adab. Yang dimaksudkan dengan adab ialah semua jenis gerak-geri, sikap
dan perbuatan serta nilai yang betul dan 'manis' dalam hubungan dengan
semua pihak, bermula dengan Tuhan, orang tua, ibu, bapa, guru, rakan dan
seterusnya. Inilah konsep adab yang menyeluruh dan luas yang disebutkan
oleh Nabi Muhammad saw. dalam hadis yang lebih kurang bermaksud: Tuhanku
menjayakan pendidikan adab dalam diriku dan Dia sempurnakan pendidikan
adab itu.
Adab dalam pengertian yang menyeluruh dan mendalam inilah yang dimaksudkan
oleh al-Mawardi dalam kitabnya Adabud-Dunya wad Din (Adab hidup
dunia dan hidup beragama). Kita boleh lihat bagaimana pendidikan tidak
terpisah daripada adab atau akhlak yang tinggi. Pendidikan yang dijayakan
oleh guru yang beradab kepada murid adalah pendidikan yang unggul. Ia memang
diharapkan melihat kepada pelbagai masalah akhlak dan moral yang dihadapi
sekarang.
Kepentingan akhlak diberi penekanan yang wajar oleh Islam. Sebab itu
Nabi Muhammad saw. bersabda lebih kurang maksudnya: Aku diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia. Dan Allah memuji Nabi Muhammad saw.
dengan menyebut peribadinya yang agung dalam ayat yang kira-kira bernaksud:
Sesungguhnya
tuan hamba mempunyai peribadi yang agung (Q.4)
Kita boleh bersetuju dengan pemikir barat mengenai peradaban dan moral.
Albert Schweitzer dalam bukunya Civilization and Ethics menyebut,
kualiti sesuatu peradaban itu terletak pada keberadaban tenaga moral dalam
peradaban itu. Adanya guru yang beradab dan memberi pendidikan adab kepada
murid selain mendidik ilmu, adalah penyelesai banyak masalah yang dihadapi
masyarakat.
Akhirnya guru digelar dalam Islam sebagai mudarris, iaitu mereka
yang mengajar mata pelajaran kepada pelajar. Guru sebagai mu'allim,
murabbi, muaddib dan mursyid adalah kualiti yang perlu diusahakan
bersama supaya ia muncul di kalangan kita dan dengan itu banyak masalah
akan selesai.
Dalam peradaban Islam, ulama dan guru yang mempunyai fungsi menjayakan
budaya ilmu dalam Islam berpandukan keimanan dan ketaqwaan. Mereka juga
menjayakan kemahiran untuk umat, dengan itu golongan yang diajar menjadi
umat yang unggul, menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman
kepada Allah. Mereka menjadi ustazaul'alam. Dengan ini manusia mendapat
hasanah
di dunia ini dan hasanah di akhirat.
Tugas utama bagi guru ialah membentuk pandangan hidup yang betul dalam
bentuk akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Pandangan hidup ini mengajar manusia
hubungan yang betul dan tepat sesama manusia, Tuhan, alam dan kehidupan
serta pengabdian manusia kepada Tuhan. Manusia menyempurnakan hidupnya
di dunia demi untuk mencapai kebaikan dan kesempurnaan dalam alam yang
kekal abadi. Masalah pandangan hidup dan akidah adalah masalah pokok.
Pandangan hidup inilah yang mendominasi manusia Nusantara sejak dulu
hingga sekarang. Pandangan ini perlu diperjelas dan dijayakan. Dengan itu
manusia Muslim menjadi orang yang mempunyai pegangan yang betul dan tepat
mengenai Tuhan, Nabi dan Rasul, sahabat, alam malaikat, wahyu, alam akhirat
serta qada dan qadar. Mereka terelak daripada kepalsuan rohaniah dan akliah
yang datang daripada pegangan sesat dalam bentuk klasik atau moden.
Tugas guru juga ialah membantu dan mendidik manusia menjayakan hidup
rohani yang sebenarnya supaya kehausan mereka dalam bidang ini dipenuhi
dan mereka menjadi orang yang sihat dari segi perjalanan rohaninya dan
tidak terpedaya dengan amalan rohani atau ajaran pseudospiritual yang pelbagai
ragaam.
Guru juga bertanggungjawab mendidik murid mengenal dan menghayati nilai
kebenaran, kebaikan, keindahan dan keadilan dengan spektrumnya yang seimbang
dan benar dalam konteks memandang insan sebagai khalifah Allah dan hambaNya.
Nilai kebenaran, keadilan, keindahan, amanah, keberanian, perjuangan,
ihsan, itqan dan seterusnya, menjadi ciri hidup yang unggul dan penuh bererti,
diterapkan dalam peribadi, keluarga dan masyarakat serta peradaban.
Guru juga bertanggungjawab membentuk hidup berdisiplin berdasarkan syariat
Ilahi serta aturan berdasarkan syariat itu. Dengan ini, disiplin menyeluruh
wujud dalam peribadi, keluarga, masyarakat dan budaya. Tugas guru juga
untuk mendidik murid mempunyai kemahiran dan ketrampilan dalam bidang yang
diperlukan. Dengan itu mereka boleh berdikari dalam hidup. Mereka adalah
harta kepakaran bagi umat Islam. Ini bersesuaian dengan maksud ayat al-Quran:
Dan
bersiap sedialah kamu bagi menghadapi mereka (musuh). (al-Anfal.61)
Guru juga bertanggungjawab, serta pihak lain dalam masyarakat, untuk
membentuk budaya ilmu dalam masyarakat. Dengan itu umat Islam akan menjadi
umat yang memimpin manusia dalam akidah, ilmu, kemahiran dan budaya. Dengan
kesungguhan umat dalam usaha yang diredhai Allah, cita-cita ini akan tercapai.
Bagaimanapun, guru perlu memberi kesedaran kepada murid supaya mereka tidak
tenggelam dalam slogan hidup mewah dan berfikiran mudah. Mereka hanya mementingkan
barangan mahal tetapi fikiran mereka terhad kepada perkara-perkara yang
bersahaja, tanpa mempedulikan cita-cita rohaniah, akliah dan moral tinggi.
Ada beberapa sifat yang perlu dimiliki demi melahirkan guru yang boleh
berfungsi dengan baik: Matlamat dan tujuan terakhir ialah berusaha untuk
mendapat keredhaan Allah dalam hidup keduniaan, berbuat jasa dan bakti
kepada manusia untuk mencari keredhaan Allah. Sentiasa ingat kepada matlamat
dan tujuan dalam hidup sama ada dari segi jangka panjang atau pendek.
Manusia adalah makhluk bertanggungjawab. Bebanan tanggungjawab dan amanah
ini jelas daripada ayat yang kira-kira bermaksud: Sesungguhnya Kami
bentangkan amanah kepada langit, bumi dan bukit-bukau, tetapi mereka tidak
mahu memikulnya kerana takut kepadaNya dan manusia memikulnya. Ia zalim
lagi jahil (apabila menyalahgunakan amanah). (al-Ahzab.72) Terikatnya
manusia dengan tanggungjawab dijelaskan dalam ayat yang kira-kira bermaksud:
Sesungguhnya
pendengaran, penglihatan dan hati dipertanggungjawabkan semuanya. (al-Israk.36)
Maka hendaklah sifat bertanggungjawab ini dibentuk dalam diri, sesuai dengan
kedudukan manusia sebagai khalifah Allah dan hambaNya.
Sifat hidup dan beramal serta berusaha mengikut aturan dan ketertiban,
dan kepentingan hidup mengikut tertib dan aturan berdasarkan ajaran Tuhan
dan syariatnya itu, menjadi syarat dan rukun dalam ibadat dan ia sesuatu
yang amat dituntut.
Guru mempunyai sifat berkerjasama dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas
serta mesra dalam semua perkara yang baik dan benar, bukannya dalam perkara
yang palsu dan salah. Sifat berkerjasama ini adalah satu daripada ciri-ciri
orang yang berjaya. Dalam al-Quran ada ayat yang lebih kurang maksudnya:
Berkerjasamalah
kamu antara satu dengan lain dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah
kamu berkerjasama dalam perkara dosa dan perkelahian. (al-Maidah.3)
Dalam alam tabie mesti wujud kerjasama yang mesra dalam bentuk symbiosis.
Maka kelihatanlah panorama alam yang harmonis dan indah, penuh dengan faedah
dan manfaat. Sifat suka meneliti dan menghisab diri untuk pencapaian yang
lebih tinggi perlu ada pada guru, bagi membolehkan mereka menjadi guru
yang memberangsangkan.
Dari segi ilmu, mereka hendaklah meneliti, melihat bagaimana
ilmu boleh ditingkatkan dengan pembacaan dan penelitian, samada ilmu agama
atau kemahiran diri. Pembacaan yang luas dan berguna perlu dilakukan.
Dari segi rohaniah dan akhlak, guru perlu menghitung dirinya
mengenai keyakinan dan amalannya serta hubungannya dengan Allah. Demikian
juga akhlaknya yang sentiasa perlu ditingkatkan, samada dengan pembacaan
atau taubat dan penyesalan terhadap kesilapannya.
Dari segi fizikal dan kemasyarakatan, ia perlu meneliti
bagaimana kesihatan badannya yang perlu diberi perhatian supaya tidak merana
dan gagal dalam melaksanakan tugas. Sifat meneliti diri demi untuk mencapai
tahap yang lebih baik dalam semua kepakaran, apa lagi hubungan dengan Tuhan,
adalah sifat yang amat penting. Dengan itu dia akan muncul sebagai guru
yang utama.
Sudah tentu guru perlu sedar kemuliaan tugas sebagai guru dan kedudukan
mereka, sebagaimana yang diajar dalam sejarah dan ajaran Islam. Dengan
itu dia perlu menjaga kemuliaannya. Masyarakat pula perlu melaksanakan
tugas dan tanggungjawab untuk memuliakan guru dan menyedarkan guru mengenai
kemuliaan mereka. Antaranya:
-
Menyebarluaskan maklumat dan kesedaran mengenai kemuliaan guru dan tugasnya
dalam masyarakat melalui majlis ilmu, perbincangan, forum dan seterusnya
anjuran persatuan ibubapa dan guru (PIBG) dan sebagainya.
-
Memberi layanan baik dan beradab kepada masyarakat terhadap guru dengan
mengenang jasa mereka dalam pendidikan dan dengan mengajar anak-anak supaya
memuliakan guru, samada guru yang mengajarkan ilmu syariat atau ilmu yang
berfaedah. Selain ilmu syarak, ilmu umum yang berguna menjadi 'jalan' yang
boleh membawa ke syurga.
-
Sejarah ulama dan cendikiwan serta guru dalam peradaban Islam hendaklah
disebarkan dalam media samada media elektronik atau cetak.
-
Penghormatan kepada guru eloklah diberikan dalam bentuk kurnia yang bernilai
dan berharga, bukan sahaja kepada mereka yang berjasa dalam sukan dan sebagainya.
-
Penerbitan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaan
mereka dalam sejarah Islam, sejarah rantau ini dan sejarah dunia eloklah
dijayakan. Dengan itu jasa guru dan kehormatan mereka disedari.
SEKIAN