SAYA
adalah saudara baru. Sebelum memeluk Islam, saya pernah dirogol dan mengandung.
Selepas tiba di Semenanjung, baru saya sedar saya mengandung dan melahirkan
anak di sini.
Selepas bersalin,
fikiran saya tidak tenang dan menghantar anak itu kepada keluarga angkat
tidak jauh dari tempat saya bekerja. Saya pernah tidak menjenguk anak selama
dua bulan setengah. Saya tidak beritahu hal ini kepada emak dan bapa di
kampung.
Bagaimanapun,
selepas mengetahui keadaan sebenar, mereka dapat menerima kami anak beranak.
Masalahnya,
keluarga angkat tidak mahu menyerahkan anak kepada saya.
Mereka pernah
menyuruh saya menandatangani surat pengambilan anak angkat, tetapi saya
tidak lakukan. Bagaimana saya boleh mengambil balik anak saya? Adakah tindakan
saya meninggalkan anak selama dua bulan setengah itu membolehkan mereka
mengambil anak saya? Adakah saya perlu memberitahu keadaan sebenar kepada
keluarga angkat? Apakah yang boleh saya lakukan?
Ika,
Pulau Pinang
JAWAPAN
Sebagai saudara
baru dalam Islam, saudari diberi kelebihan terhapus dosa lama, iaitu segala
dosa lampau yang dilakukan sebelum masuk Islam terhapus dengan memeluk
agama Islam.
Berkenaan bayi
itu, dia adalah anak saudari yang sah, tiada siapa dapat menghalang saudari
daripada mengambilnya semula. Mungkin kerana keluarga angkat mengetahui
kelemahan saudari, mereka cuba berkeras, sebaliknya saudari orang paling
berhak dengan bayi itu, walaupun dia anak luar nikah. Tidak perlu menceritakan
hal sebenar, cuma jelaskan yang saudari mahukannya semula. Jika mereka
berkeras, buat laporan polis.
|