RAHSIA DI SEBALIK

NAMA DAN LOGO SYARIKAT

SWIFT pada kami bukan sahaja bermakna pantas atau lincah. Tetapi ia juga adalah ringkasan dari perkataan "Success Without Fears and Tears" (Kejayaan Tanpa Tangisan atau Ketakutan). Ringkasan ayat keramat ini adalah lambang kepada perjalanan dan perjuangan syarikat kami. Kami mengambil helang sebagai logo kami kerana ciri-ciri helang itu sendiri. Dari pemerhatian kami, helang adalah haiwan yang pantas dan lincah. Selain itu, ia juga tangkas menyambar dan cengkamannya kuat. Di bawah adalah beberapa ciri lain yang telah disebutkan dalam buku Berani karangan Sheikh Paiman Saleh.

1) Burung helang merupakan burung yang berani, yang ditakuti oleh burung-burung yang lain. Ia tinggal di tempat yang tinggi, beribu-ribu kaki dari bumi. Burung-burung yang lain membina sarang di tempat yang rendah, di tempat-tempat yang rendah, di tempat-tempat yang hina seperti di tunggul mati, di pokok mati, di bawah cucur-cucur atap dan sentiasa hidup dalam ketakutan. Manusia berjaya mencontohi helang, hidup dalam keberanian untuk membina maruah yang tinggi dan disegani oleh orang lain. 

2) Ia yakin akan dirinya sendiri. Buktinya bila ia bertelur, ia bertelur di sarang yang beribu-ribu tingginya dan apabila menetas, lahirlah anak helang yang diasuh dengan penuh keberanian. Tidak seperti burung-burung yang lain yang mendidik anaknya dengan memberi makanan di dalam sarang sampailah tumbuh kepak dan bulu di badan. Ia mengajar anak melompat di tanah, kemudian barulah diajar terbang dekat dan akhirnya terbang jauh. Ibu pipit tidak yakin akan kebolehan anaknya. Berlainan dengan ibu helang. Lahir saja anaknya, diberikan sedikit sahaja makanan. Kering sahaja bulunya, ia terus menendang anaknya keluar dari sarang yang beribu-ribu kaki tingginya walaupun anak itu tidak pernah diajar terbang. Tentulah risiko yang dihadapi adalah antara hidup dan mati. Jikalau ia hendak hidup, ia perlu terbang dan mengepakkan sayapnya. Ibu helang yakin akan kebolehan anaknya. Manusia berjaya mencontohi helang dengan memiliki rasa yakin terhadap dirinya dan menyalurkan rasa keyakinan itu kepada anak-anaknya, melatih mereka agar berani menghadapi risiko.

3) Helang berani menghadapi cabaran dan mengatasinya. Apabila waktu hendak hujan ketika ada ribut dan petir, kilat sabung menyabung, angin bertiup kencang, awan mendung dan hujan belum turun lagi, burung-burung lain telah bertempiaran lari mencari tempat perlindungan, samada di bawah sarang atau di bawah tunggul mati. Helang tidak melarikan dirinya. Helang akan menghimpunkan tenaganya dan mengepak sayap dengan lebih kuat lalu terbang lebih tinggi dan tinggi dan mengatasi awan yang membawa hujan. Akhirnya helang terbang dengan selamatnya di sana.